Amalan Meminta Maaf Perlu Jadi BudayaMENJADI seorang yang memiliki sifat pemaaf amat dituntut oleh Islam. Ia bukan sahaja menonjolkan peribadi muslim yang berakhlak mulia dan berbudi pekerti tinggi, malah turut mencerminkan keindahan Islam sebagai agama samawi (agama wahyu ILAHI) yang meraikan fitrah kejadian manusia.Hakikatnya, ungkapan ‘maaf’ amat mudah diucapkan, tetapi sebenarnya amat sukar untuk dipraktikkan.
Di dalam al-Quran, ALLAH menjelaskan bahawa perbuatan meminta dan memberi maaf adalah antara amalan mulia yang melayakkan seseorang muslim mendapat ganjaran yang tinggi di sisi-NYA:Terimalah kemaafan dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) daripada orang yang jahil. - Surah al-A‘raf : 199Sesungguhnya sifat pemaaf ini memang telah sebati dalam jiwa dan akhlak Rasulullah.
Melalui sirah kehidupan baginda, dapat dilihat bahawa apa sahaja celaan dan cabaran hebat yang dihadapi, terutama ketika dipulau serta dihalau dari bumi Mekah, tidak sekali pun diambil endah.Malah, baginda membalas kesemua perlakuan buruk itu dengan layanan terbaik kepada individu yang menyakitinya.
Ini terbukti apabila baginda berjaya membuka kota Mekah. Maka, sebagai pemerintah yang sentiasa mendapat petunjuk daripada ALLAH, baginda tidak sesekali membalas apa juga keburukan yang telah diterimanya suatu ketika dahulu.
Sifat sabar dan pemaafnya Rasulullah dapat dilihat secara jelas. Antaranya apabila Rasulullah dihina oleh penduduk Ta’if yang tidak mahu menerima kedatangan baginda ke tempat mereka untuk tujuan menyebarkan dakwah.Rasulullah telah dibaling batu oleh sekumpulan kanak-kanak sehingga datang malaikat lalu menawarkan kepada baginda untuk memusnahkan mereka yang melampau itu. Dengan penuh sabar, Rasulullah menolak tawaran tersebut, sebaliknya berdoa kepada ALLAH agar penduduk tersebut diberikan hidayah-NYA. Selain sifat sabar, peristiwa ini turut membuktikan bahawa Rasulullah memiliki sifat pemaaf yang mulia.
Sifat pemaaf inilah merupakan antara aset penting yang menyebabkan Rasulullah dipandang mulia oleh masyarakat Arab pada zaman tersebut, meskipun sebahagian mereka menolak ajaran Islam yang dibawa baginda.Ketinggian peribadi Rasulullah ini bersesuaian dengan tujuan baginda diutuskan ke dunia iaitu untuk menyempurnakan akhlak umat manusia. ALLAH telah memperakui ketinggian budi pekerti Rasulullah yang wajib dicontohi oleh umat Islam di dalam al-Quran:32Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagimu, (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) ALLAH dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingati ALLAH. - Surah al-Ahzab : 21Sabda Rasulullah juga menjelaskan perkara ini:Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak.- Hadis riwayat AhmadDalam konteks kehidupan masa kini, amalan meminta maaf dan sifat pemaaf perlu disemai pada diri setiap individu muslim.
Ibu bapa memainkan peranan penting untuk menyemai nilai murni ini pada diri anak-anak agar ia mudah dipraktikkan dalam kehidupan harian.Perasaan malu untuk mengaku kesalahan sendiri akan menjadikan amalan meminta maaf lenyap dari dalam diri seseorang muslim. Inilah fenomena yang amat membimbangkan apabila manusia sentiasa berada dalam zon selesa, merasakan kesalahan sebagai perkara biasa, sambil mengetepikan hak dan perasaan orang lain.
Sikap mudah rasa bersalah walaupun atas perkara-perkara remeh perlu ditanam dalam diri setiap individu muslim. Hakikatnya, tanpa sikap maaf-memaafi antara satu sama lain, kehidupan manusia akan terus dibelenggu dengan pelbagai masalah, khususnya yang berkaitan aspek kehidupan bermasyarakat.Tidak dinafikan, amalan meminta maaf dan sifat pemaaf berkait rapat dengan ego manusia yang sememangnya tergolong dalam kategori nafsu yang sentiasa mengarah kepada keburukan.
Mana mungkin seseorang yang bersalah sanggup berdepan dengan pihak yang teraniaya dan meminta maaf kepadanya jika ego masih menebal dalam diri.Sebenarnya, amalan meminta maaf dan sifat pemaaf juga mempunyai kaitan dengan sifat sabar. Melalui sifat sabar, ego dapat ditundukkan. Maka, lahirlah perasaan mudah untuk meminta maaf dan memberi kemaafan kepada pihak lain.Tanpa kesabaran yang tinggi dalam mendepani apa juga masalah serta cabaran, maka manusia akan jauh daripada amalan meminta maaf dan sifat pemaaf.
ALLAH telah mengingatkan kita betapa pentingnya sifat sabar dalam diri setiap muslim menerusi firman-NYA:Maka bersabarlah dengan cara kesabaran yang sebaik-baiknya. - Surah al-Ma‘arij : 5Dan bersabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya ALLAH bersama orang yang sabar. - Surah al-Anfal : 46Amalan meminta maaf dan sifat pemaaf seharusnya menjadi budaya dalam kehidupan seharian bagi mereka yang bergelar muslim sejati.
Janganlah menjadikan amalan murni ini sesuatu yang bermusim sahaja. Ia satu tanggapan yang kurang tepat jika kita hanya mengamalkannya apabila menjelang hari raya yang tiba setahun sekali.Seharusnya amalan meminta maaf dan sifat pemaaf menjadi satu budaya bagi rakyat negara ini yang hidup dalam masyarakat majmuk.
Bagi orang Islam, sifat murni ini perlu dipraktikkan sama ada kepada sesama muslim mahupun mereka yang berlainan agama.Sesungguhnya setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dalam menjalani kehidupan di dunia yang penuh dengan keseronokan dan tipu daya.
Firman ALLAH:Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. - Surah Ali ‘Imran : 185Hakikatnya, amalan meminta maaf dan sifat pemaaf tidak tertumpu kepada golongan tertentu sahaja. Amalan meminta maaf bukan hanya amalan hamba terhadap tuannya, pekerja terhadap majikannya, murid kepada gurunya, rakyat kepada pemerintah, golongan muda kepada golongan tua.Bahkan, ia sebenarnya merupakan amalan yang dituntut kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesilapan, tanpa mengira darjat dan pangkat. Malah, jika ibu bapa ada melakukan kesilapan kepada anak-anak, maka amat wajar bagi mereka untuk meminta maaf. Apatah lagi jika sebaliknya.Apa yang lebih penting, selain rasa tanggungjawab untuk sentiasa meminta maaf kepada sesama manusia terhadap apa juga kesalahan yang telah dilakukan, kita juga bertanggungjawab untuk sentiasa memohon keampunan daripada ALLAH pada setiap waktu.
Tiada sesiapa pun di dunia ini yang bersifat maksum (terpelihara daripada dosa dan kesalahan) melainkan para nabi dan rasul yang telah menjadi pilihan ALLAH untuk menjadi contoh dan ikutan terbaik bagi umat manusia.Janganlah mudah alpa akibat dibuai keseronokan dunia sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai hamba yang sentiasa mengharapkan rahmat dan keredhaan daripada ALLAH.Sesungguhnya ALLAH itu Maha Pengampun kepada hamba-NYA yang tidak jemu memohon keampunan atas segala dosa yang telah dilakukan, sama ada nyata mahupun tersembunyi. Firman ALLAH berkaitan hal ini di dalam al-Quran:Dan (ingatlah) ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. - Surah al-Nisa’ : 25Memohon keampunan kepada ALLAH merupakan amalan yang terpenting dalam usaha menjadi hamba-NYA yang sentiasa mendapat keredhaan hidup dunia serta akhirat.
Bacaan zikir dan doa memohon keampunan kepada ALLAH adalah antara cara terbaik untuk menghapuskan dosa kesalahan yang dilakukan. Hal ini seperti mana yang diajarkan oleh Rasulullah, ketika ‘Aisyah binti Abu Bakar bertanya kepada baginda:“Wahai Rasulullah. Apa pandanganmu sekiranya aku mengetahui malam yang mana berlakunya lailatulqadar, apakah yang perlu aku ucapkan pada malam itu?” Rasulullah bersabda: “Ucapkanlah: Ya ALLAH, sesungguhnya ENGKAU Maha Pengampun, suka kepada pengampunan, maka ampunilah aku.”
Regards,
Zai